Deskripsi Produk
Produk yang dihasilkan adalah Fertilizer Auger, penciptaan alat yang menambahbaik keberkesanan bagi kerja-kerja pembajaan dan penjimatan penggunaan baja pada tanaman landskap. Kaedah pembajaan manual sedia ada yang diaplikasikan di tapak memerlukan pekerja untuk mencangkul permukaan tanah terlebih dahulu sebelum baja ditabur dan ianya mengambil masa yang agak lama bagi kerja-kerja pembajaan di kawasan landskap taman. Tujuan utama produk ini adalah ingin mengurangkan larian baja melalui air di permukaan tanah yang mengakibatkan kerugian dari segi kos baja yang digunakan dan kos tenaga buruh secara tidak langsung. Umum sedia maklum berkaitan pokok yang kurang pembajaan akan mengakibatkan pokok kekurangan nutrien seperti batang tidak kuat, daun tidak sihat dan kekuningan serta pengeluaran bunga yang tidak memuaskan. Kumpulan ini telah mengenalpasti beberapa kawasan di mana pertumbuhan pokok dilihat tidak memuaskan walaupun telah dibaja mengikut jadual. Hasil pemerhatian mendapati baja yang ditabur telah mengikut larian air di permukaan tanah semasa hujan dan pokok tidak dapat menyerap nutrien yang mencukupi untuk pertumbuhan yang baik. Hasil perbincangan bersama ahli kumpulan, kaedah pembajaan poket menggunakan alat Fertilizer Auger adalah inisiatif terbaik bagi mengatasi masalah larian baja ini selain dapat menjimatkan masa, kos tenaga kerja dan bekalan pembajaan. Produk inovasi ini dihasilkan dari kerangka besi stainless steel yang berukuran 85cm tinggi dengan kelebaran 9cm. Keutamaan penggunaannya adalah kepada tanaman pokok teduhan dan pokok renek di kawasan lereng bukit. Disamping itu, produk ini dapat membaiki struktur tanah yang semakin padat di kawasan landskap bandaran selain memberi impak secara menyeluruh terhadap kerja-kerja penyelenggaraan landskap lembut bertepatan dengan slogan Majlis Perbandaran Sepang iaitu Bersih, Hijau dan Sejahtera.
Maklumat Tambahan
Pencapaian & Pengiktirafan:
- Tempat Ketiga MPIPANS Kategori Inovasi Sosial (Penambahbaikan) Tahun 2025