Pengenalan Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (MPIPANS):
Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor (MPIPANS) (dahulu dikenali sebagai Konvensyen KIK Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor) telah dilaksanakan setiap tahun sebagai salah satu langkah bagi mendorong warga kerja di Negeri Selangor untuk memperkenalkan cara kerja baru yang lebih cekap dan berkesan serta menghasilkan output dan outcome yang mempunyai impak tinggi. Walau bagaimanapun, bagi memastikan projek inovasi yang berkualiti dapat dihasilkan, bermula tahun 2023 Konvensyen ini dilaksanakan dua (2) tahun sekali. MPIPANS juga memberi ruang dan peluang kepada kumpulan-kumpulan KIK (Kumpulan Inovatif dan Kreatif) peringkat Jabatan/ Agensi untuk mempersembahkan hasil cetusan idea kreatif dan inovatif masing-masing demi mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya di negeri Selangor ke tahap yang lebih membanggakan.
Objektif Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) adalah seperti berikut :-
Objektif KIK adalah untuk menambahbaik dan meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja khususnya dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan melalui:
a) Keupayaan mencipta cara bekerja baru atau menghasilkan inovasi;
b) Kebolehan menyelesaikan masalah atau membuat penambahbaikan kerja;
c) Semangat bekerja secara berpasukan;
d) Penyemaian dan penerapan nilai serta etika kerja positif;
e) Penglibatan dan peningkatan komitmen terhadap kerja;
f) Dorongan kerja yang tinggi;
g) Kesedaran mengenai tanggungjawab terhadap diri sendiri, kumpulan, organisasi dan negara;
h) Penggalakan penghasilan idea-idea yang inovatif dan kreatif; dan
i) Pewujudan hubungan yang harmoni di antara pihak pengurusan dan pekerja.
Pelaksanaan MPIPANS:
Penyertaan adalah dibuka kepada Kumpulan-kumpulan KIK dari semua Jabatan Negeri, Jabatan Persekutuan (yang mempunyai 2 status pelaporan) Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Daerah dan Badan Berkanun Negeri sahaja. Penyertaan oleh GLC adalah tidak dibenarkan.
Projek KIK hendaklah merupakan karya asli kumpulan dan tidak diadaptasi daripada mana – mana produk atau sistem sedia ada.
Bilangan maksima ahli-ahli bagi setiap Kumpulan KIK yang mengambil bahagian adalah dihadkan kepada 10 orang sahaja termasuk Ketua Kumpulan.
Setiap Jabatan / Agensi dibenarkan mencalonkan maksimum empat (4) Kumpulan KIK (salah satu daripada 4 penyertaan berkenaan hendaklah daripada kumpulan hibrid) yang dipilih melalui apa jua platform yang dirasakan bersesuaian bagi menyertai Konvensyen Peringkat Negeri. Penetapan kategori ini adalah berdasarkan kriteria projek.
Kelayakan Menyertai Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan:
Jabatan / Agensi yang berstatus negeri sahaja yang akan layak untuk bertanding mewakili negeri bagi menyertai Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan.
Walau bagaimanapun, Jabatan / Agensi Persekutuan yang beroperasi di negeri dan mempunyai dua (2) ‘status pelaporan’ iaitu negeri dan persekutuan seperti JKR, JPS dan lain-lain akan dipertimbangkan oleh pihak Urus Setia Konvensyen Peringkat Negeri untuk mewakili negeri bagi menyertai Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan. Namun begitu, Jabatan / Agensi Persekutuan yang mempunyai dua ‘status pelaporan’ perlu mendapatkan pengesahan dan kebenaran secara bertulis daripada ibu pejabat masing-masing untuk mewakili negeri di Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan. Pengesahan dan kebenaran bertulis itu perlu dikemukakan sebagai dokumen tambahan semasa mengemukakan pencalonan di MPIPANS.
Kumpulan KIK yang memenangi tempat pertama atau mendapat markah tertinggi bagi Kategori Inovasi Penciptaan dan Kategori Inovasi Penambahbaikan pada Konvensyen KIK Peringkat Negeri akan dipertimbangkan untuk mewakili Kerajaan Negeri di Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan.
Sekiranya tempat pertama bagi kedua-dua kategori dimenangi oleh Jabatan / Agensi Persekutuan yang mempunyai dua ‘status pelaporan’, maka syarat di atas akan diguna pakai.
Konsep dan Ciri-Ciri Projek:
• Bidang Inovasi Sosial
Bidang Inovasi sosial merangkumi kaedah penyelesaian baharu (idea, model dan perkhidmatan) yang mampu memenuhi kepentingan sosial dengan lebih berkesan dan mengutamakan penglibatan rakyat. Fokus pelaksanaan inovasi sosial tidak hanya kepada pencapaian impak sosial semata-mata, malah memberikan penekanan kepada proses penglibatan rakyat dalam membangunkan sesuatu inovasi.
• Bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan
Inovasi penyampaian prkhidmatan merupakan terjemahan idea baharu yang kreatif dan inovatif untuk mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Inovasi penyampaian perkhidmatan bermatlamat meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan ke arah penyampaian perkhidmatan yang bersepadu dan lancar serta meningkatkan kepuasan hati pelanggan.
• Kategori Inovasi Penciptaan
Penciptaan suatu produk, perkhidmatan atau proses yang baharu dan belum pernah dilaksanakan di Malaysia.
• Kategori Penambahbaikan
Penambahbaikan sesuatu produk, perkhidmatan atau proses sedia ada melalui kaedah yang inovatif agar menjadi lebih berkualiti serta berdaya saing.
Ganjaran dan Pengiktirafan:
Ganjaran dan pengiktirafan bagi pemenang pada konvensyen ini adalah seperti berikut:
• Johan - RM 15,000.00, Piala Pusingan, Piala Iringan & Sijil Penghargaan
• Naib Johan - RM 10,000.00, Piala Iringan & Sijil Penghargaan
• Tempat Ketiga - RM 7,000.00, Piala Iringan & Sijil Penghargaan
• Saguhati - Sijil Penghargaan
• Projek Inovasi Terbaik (Primer) - RM 2,000.00 & Sijil Penghargaan
• Projek Inovasi Terbaik (Hibrid) - RM 2,000.00 & Sijil Penghargaan
• Dokumentasi Projek Terbaik - RM 1,500.00 & Sijil Penghargaan
• Persembahan Terbaik - RM 1,500.00 & Sijil Penghargaan
Senarai Pemenang:
• Senarai pemenang bagi Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (MPIPANS) tahun 2019 sehingga 2025
https://www.selangor.gov.my/index.php/pages/view/1263