Deskripsi Produk
Aterosklerosis merupakan satu keadaan di mana salur darah jantung tersumbat akibat pembentukan plak aterosklerotik. Keadaan ini boleh mengakibatkan penyempitan salur darah koronari dan meningkatkan risiko serangan jantung. Bagi mengesan penyakit ini, pesakit biasanya akan menjalani prosedur Pengimejan Tomografi Berkomputer Koronari Angiografi (CCTA), iaitu satu kaedah pencitraan tidak invasif yang membolehkan pemerhatian struktur salur darah jantung. Kebiasaannya, imej CCTA akan ditafsir oleh pakar kardiologi melalui pemerhatian mata kasar, yang memerlukan ketelitian tinggi serta mengambil masa yang agak lama. Bagi meningkatkan kecekapan dan ketepatan diagnosis, satu inovasi telah dibangunkan iaitu CTAID-A – sebuah alat pengesan automatik penyakit jantung berasaskan imej CCTA. CTAID-A berfungsi dengan mengumpul data imej CT pesakit secara retrospektif dan menjalankan pengekstrakan ciri-ciri radiomik daripada imej tersebut. Sistem ini dibangunkan menggunakan algoritma pembelajaran mesin automatik (AutoML) yang berasaskan bahasa pengaturcaraan Python, membolehkan proses analisis dijalankan secara lebih pantas, konsisten dan objektif berbanding kaedah konvensional. Melalui integrasi teknologi kecerdasan buatan ini, CTAID-A berpotensi untuk menyokong tugas pakar kardiologi dalam membuat diagnosis yang lebih tepat, sekali gus mempercepatkan proses rawatan serta meningkatkan keberkesanan pengurusan penyakit jantung.
Maklumat Tambahan
Status Projek:
Aktif
Pencapaian & Pengiktirafan:
Johan AINS Kategori Institut Pengajian Tinggi Tahun 2024