Deskripsi Produk
Projek inovasi ini diterajui oleh Unit Kejuruteraan Building Services Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di KLIA Terminal 2. Sebagai salah satu terminal berkapasiti tinggi yang mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun, pengurusan sisa pepejal yang cekap adalah amat kritikal. Terminal ini dilengkapi dengan Automatic Waste Collection System (AWCS), iaitu sistem pengumpulan sisa automatik berasaskan teknologi vakum yang merangkumi rangkaian saluran paip sepanjang 4.5 kilometer untuk menghubungkan 43 Waste Load Station ke Central Waste Handling Facility (CWHF).
Selepas beroperasi sejak tahun 2014, peningkatan drastik beban sisa harian yang mencapai purata 5 tan sehari serta pertambahan premis makanan (F&B) telah mengakibatkan kejadian paip tersumbat berlaku dengan kerap. Berdasarkan analisis teknikal yang mendalam menggunakan kaedah Pareto, Ishikawa, dan Why-Why Analysis, tiga punca utama ketersumbatan telah dikenal pasti iaitu kemasukan objek asing bersaiz besar (seperti buluh lemang, kayu, dan besi), kecerunan paip yang tidak mencukupi untuk kelancaran aliran graviti, serta penurunan tekanan sedutan akibat jarak penghantaran yang jauh dan rintangan daripada rekabentuk selekoh tajam 90°. Kegagalan sistem ini bukan sahaja menjejaskan imej kebersihan terminal akibat lambakan sampah, malah meningkatkan kos pembaikan kecemasan serta mendedahkan kakitangan kepada risiko keselamatan yang tinggi semasa kerja pembaikan manual di ruang terkurung.2
Bagi mengatasi isu ini secara holistik tanpa melibatkan penggantian keseluruhan sistem yang menelan kos tinggi, satu solusi kejuruteraan yang praktikal dan ekonomik telah dilaksanakan. Solusi tersebut melibatkan pemasangan Primary Air Intake (PAI) di lokasi kritikal bagi meningkatkan tekanan sedutan vakum secara optimum serta pengubahsuaian laluan saluran paip daripada selekoh 90° kepada cerun 45° bagi meminimalkan rintangan pergerakan sisa. Melalui kerjasama strategik, keseluruhan kos pelaksanaan sebanyak RM265,000.00 telah ditanggung sepenuhnya oleh pihak penyelenggaraan (STREAM) tanpa menggunakan peruntukan tambahan daripada Malaysia Airports Holdings Berhad.
Inovasi ini memberikan impak operasi yang sangat signifikan di mana kejadian paip tersumbat berjaya dikurangkan kepada sifar (0) kes, sekali gus memastikan kelancaran operasi terminal. Dari implikasi kewangan, projek ini berjaya mengelakkan kos luar jangka yang tinggi, termasuk kos pemindahan sisa secara manual sebanyak RM4,000 sehari dan kos sewaan Roll-On Roll-Off (RORO) Bin sebanyak RM7,000 sehari setiap kali gangguan sistem berlaku. Produktiviti sumber manusia turut dioptimumkan apabila kakitangan kini dapat mengalihkan fokus daripada kerja reaktif pembetulan kepada penyelenggaraan pencegahan (preventive maintenance). Paling utama, penilaian risiko keselamatan pekerjaan (OSH) berjaya diturunkan secara drastik daripada risiko besar kepada risiko kecil hasil daripada pengurangan kerja manual di ruang berisiko tinggi. Pendekatan berasaskan prinsip kejuruteraan vakum ini mempunyai potensi replikasi yang sangat luas untuk dijadikan Best Practice serta diseragamkan di pelbagai fasiliti awam lain seperti hospital, pusat membeli-belah, mahupun projek pembangunan bandar pintar untuk Kesejahteraan Rakyat Selangor.